Sebanyak 2,634 bantuan bekalan kit makanan telah diserahkan kepada 1,320 keluarga di Kampung Datuk Ibrahim Majid, Bandar Baru Datuk Ibrahim Majid serta 11 kampung rangkaian sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di kawasan itu pada 27 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah Kluang, Ismail Abu berkata, semua bantuan berkenaan diperoleh daripada kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Jelasnya, secara keseluruhan, sebanyak 3,000 pek beras lima kilogram (kg) turut diagihkan sepanjang tempoh itu.

Selain itu ujarnya, barangan basah termasuk tujuh tan ayam, sayuran (tujuh tan), ikan (dua tan) serta 2,640 papan telur juga dibekalkan kepada semua penduduk terbabit.

“Sepanjang tempoh satu bulan ini, segala keperluan penduduk dijaga dengan baik dan sempurna. Berdasarkan maklumat, tiada aduan mengenai bekalan makanan atau barangan harian terputus di semua kawasan terbabit,” katanya.


Astro AWANI

Selain keperluan asas, katanya barangan penjagaan diri termasuk pencuci pakaian dan pinggan dan ubat gigi turut diedarkan kepada penduduk.

Beliau berkata, barangan keperluan khas juga disediakan mengikut permintaan seperti tuala wanita, susu kanak-kanak dan lampin pakai buang.

Rabu adalah hari terakhir PKPD di Simpang Renggam, namun kawasan itu akan terus berada dalam kawalan PKP tempoh bertenang selama seminggu.