Meskipun lega dan bersyukur selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dato' Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Johor berakhir namun tempoh satu bulan itu diakui mengubah keseluruhan lanskap kehidupan penduduk di situ, kata Ketua Kampung Dato' Ibrahim Majid, Sarlan Yasmin.

Beliau menyifatkan, pematuhan penduduk ke atas PKPD sebagai sebahagian daripada pengorbanan penduduk supaya mereka dapat menjalani kehidupan harian seperti biasa.

"Saya tengok, ke mana sahaja mereka (penduduk) pergi mereka memakai topeng muka dan kerap mencuci tangan.

"Langkah itu seolah-olah sudah menjadi sebahagian daripada normal baharu dan tidak perlu diingatkan lagi," katanya ketika ditemubual menerusi Skype dalam Buletin AWANI di sini, pada Jumaat.

Pada masa yang sama, beliau merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus siang dan malam terutamanya pasukan keselamatan dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan arahan PKPD dipatuhi.

BACA: COVID-19: PKPD dikuat kuasa di dua kawasan di Simpang Renggam

BACA: PKPD Simpang Renggam ditamatkan Selasa - Ismail Sabri

"Meskipun pematuhan arahan PKPD sedikit sukar pada peringkat awal, namun keputusan kerajaan itu adalah tepat dan terbukti menurunkan jangkitan COVID-19 di kawasan kami," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sarlan menjelaskan, sebahagian besar daripada penduduk kampung yang putus mata pencarian sebelum ini kini boleh menarik nafas legas.

Katanya, kira-kira 80 peratus daripada penduduk kampung berkenaan bekerja di sektor perladangan dan bergantung kepada jualan semata-mata.

Sepanjang tempoh PKPD tambahnya, hasil tanaman terpaksa diagih-agihkan kepada penduduk kampung.