Sebanyak dua lagi tapak pembinaan diarahkan tutup oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)) kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata secara keseluruhan sebanyak 17 tapak pembinaan sudah diarah tutup sehingga kini.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 7,576 tapak binaan di seluruh negara telah diperiksa dengan 1,713 tapak binaan mematuhi SOP, manakala 367 lagi diberikan amaran.

“Sebanyak 17 tapak binaan diarah tutup kerana tidak patuh SOP dan baki 5,479 tapak binaan tidak beroperasi.

“Semalam, CIDB telah membuat pemeriksaan di 152 tapak binaan di seluruh negara yang melibatkan 186 penguatkuasa.

“Pemeriksaan CIDB telah mendapati 88 tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan manakala 15 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran.

“Sebanyak 47 tapak binaan pula masih belum beroperasi. Penguatkuasa CIDB juga telah mengeluarkan dua arahan menutup tapak kerana tidak patuh SOP,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Jumaat.