Polis menahan empat individu pada Rabu selepas didapati melanggar garis panduan dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penahanan itu hasil tindakan 3,744 Pasukan Khas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan 16,568 anggota. 


“Daripada jumlah ini, dua individu telah direman dan dua lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam melibatkan seorang, refleksologi atau urut melibatkan dua orang dan aktiviti yang melanggar SOP, seorang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata PDRM telah membuat 67 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 45,526 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

“PDRM telah berjaya menahan seorang warganegara asing di Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen. 


“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.