Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang memasuki hari kesembilan menyaksikan lebih banyak 'kebebasan' diberikan kepada orang ramai, namun alangkah malang sekiranya rakyat terus menyalah guna 'kebebasan' yang diberikan, melanggar peraturan dan undang-undang yang ditetapkan apabila ada sahaja peluangnya.

Undang-undang yang ditetapkan bukan sahaja membabitkan usaha untuk membendung pandemik COVID-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan sejak 18 Mac lepas, malah juga bagi tujuan membanteras aktiviti jenayah serta kesalahan di jalan raya.

Sebagai contoh, di mana letaknya kebiasaan baharu dan kawalan kendiri jika hanya dalam lapan hari sahaja PKPP, sudah 80,950 saman dikeluarkan polis terhadap pengguna jalan raya?

Antara kebebasan `baharu' yang dibenarkan ialah orang ramai boleh bergerak bebas merentas sempadan negeri sejak PKPP dikuat kuasa 10 Jun lepas, dan hari ini juga kedai makan tidak perlu lagi mengehadkan jumlah pelanggan di setiap meja makan di dalam premis mereka.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam turut memberikan lampu hijau kepada ibu bapa membawa anak masing-masing ke pusat membeli-belah dan kedai makan, namun perlu mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Di Sabah pula, panggung wayang serta perkhidmatan kecantikan dan kesihatan telah mula dibenarkan untuk beroperasi semula bermula semalam.

Di Melaka juga sama, kerajaan negerinya bersetuju meluluskan 100 lokasi tapak baharu bagi pembukaan pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam, dan bazaria dalam tempoh PKPP dilaksanakan bagi membolehkan peniaga kecil kembali memperoleh pendapatan selain menjana semula ekonomi negeri.

Di Kedah pula, hampir 90 peratus daripada sektor pelancongan negeri berkenaan termasuk di Langkawi, telah dibenarkan beroperasi semula.

Namun, segala kebebasan ini tidak bermaksud negara bebas daripada penularan COVID-19, malah di saat kita merasa 'lega' kini, angka penularan virus pula di kalangan warganegara menunjukkan peningkatan sedikit demi sedikit walaupun masih di angka satu digit.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sehingga 12 tengah hari semalam, terdapat tujuh kes baharu melibatkan warganegara, manakala hari sebelumnya empat, dan tiga masing-masing.

Akhir kata, walaupun banyak 'kebebasan' diumumkan, rakyat perlu `hidup' dengan amalan norma baharu dan kawalan kendiri dan setiap warganegara tidaklah bebas daripada SOP dan undang-undang.

-- BERNAMA