Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang memasuki hari ke-14 hari ini menyaksikan pihak berkuasa terus memperketatkan kawalan sempadan negara bagi mengelak penularan COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 68 sekatan jalan raya (SKT) Operasi Benteng telah diadakan di seluruh negara, dengan meliputi pemeriksaan ke atas 43,997 kenderaan.

Setakat semalam, jelas beliau seorang lagi warga asing telah ditahan atas kesalahan Imigresen.

"Sejak 1 Mei hingga semalam seramai 1,036 pendatang tanpa izin (PATI) dan 176 tekong ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram melalui lorong-lorong tikus.

"Turut ditahan adalah 49 individu yang disyaki penyeludup dan 27 buah kapal," katanya dalam sidang media, di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 66,729 pemeriksaan pada Selasa bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Katanya, sebanyak 3,592 Pasukan Pematuhan telah membuat pemantauan, dengan melibatkan seramai 16,097 anggota.