Bagi mereka yang rindu untuk berkunjung ke pusat hiburan termasuk untuk berkaraoke, nampaknya aktiviti tersebut terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu buat masa sekarang.

Ini berikutan kerajaan pada Ahad mengumumkan masih tidak membenarkan beberapa aktiviti sosial dan hiburan bagi mengawal penularan COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, larangan tersebut meliputi pusat hiburan termasuk pub, kelab malam, pusat refleksologi serta pusat karaoke.

Selain itu, larangan turut berkuat-kuasa bagi taman tema dan perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, tambah beliau.

“(Larangan juga kepada) Kenduri-kendara, rumah terbuka dan apa-apa aktiviti lain yang melibatkan kehadiran orang ramai yang bersesak di suatu tempat sehingga menyukarkan amalan penjarakan sosial dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Perintah Kawalan Pergerakan, pada Ahad.

Jelas Perdana Menteri, orang ramai boleh melayari laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai senarai aktiviti atau sektor yang dibenarkan dan tidak dibenarkan di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).