Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berjaya menurunkan kadar R-naught kepada 0.3.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, pemantauan terhadap pematuhan melibatkan warga asing masih perlu dipertingkat.

“Apabila kita lihat PKP dan PKPB, kita berjaya menurunkan R-naught ataupun RT (real-time) sehingga 0.3 peratus.

“Pada masa yang sama, kita lihat kepatuhan daripada rakyat Malaysia adalah tinggi, namun kepatuhan daripada rakyat bukan negara…itu yang perlu kita lihat iaitu kepada kepatuhan bukan warganegara,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Beliau pada masa sama menggesa setiap lapisan masyarakat untuk mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Ujarnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pihaknya akan terus menjalankan aktiviti pemantauan selain akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) jika terdapat jangkitan dalam sesebuah komuniti.

“Kita menyarankan rakyat Malaysia untuk patuh kepada garis panduan dan kita lihat kalau kepatuhan ditingkatkan, kita boleh mengurangkan lagi R-naught kurang daripada 0.3.

“Jadi kita jangkakan sekarang ini, kalau kita ambil tempoh PKPB sebulan lalu, kita dapat lihat kes tidak meningkat secara mendadak iaitu dua atau satu angka.

“Kita lihat rakyat Malaysia yang terlibat pun tidak tinggi iaitu hampir mencecah satu angka sahaja.

“Jadi kalau untuk tempoh sekarang ini, iaitu dari 10 Jun hingga 31 Ogos, kita akan masih memantau dan menjalankan aktiviti pengesanan.

“Kalau ada jangkitan di sesuatu lokaliti ataupun kumpulan sasar, kita akan laksanakan PKPD,” ujarnya.

Mengikut data terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar jangkitan atau R-naught global adalah pada kadar sekitar 2 dan 2.5.