Mesyuarat Khas Menteri-menteri bersetuju membenarkan semua proses temuduga kembali dijalankan secara bersemuka.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang akan disediakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Selepas meneliti permohonan daripada pelbagai kementerian dan agensi, kerajaan bersetuju untuk membenarkan pelaksanaan temuduga secara bersemuka.

"Jadi tidak perlu lagi secara dalam talian dan sebagai. Ini termasuk juga kepada pihak swasta," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Rabu.

Ismail Sabri berkata, SPA akan menyediakan SOP berkaitan proses temuduga secara bersemuka dan SOP ini akan disemak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum diluluskan.

SOP terbabit akan diedarkan kepada semua kementerian, agensi dan pihak swasta sebagai rujukan dalam mengendalikan temuduga.