Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapati terdapat penglibatan anggota kongsi gelap yang dikatakan telah membuat sabotaj dalam Pemilihan PKR baru-baru ini.

Pengerusi JPP PKR, Datuk Johari Abdul memberitahu bahawa perkara tersebut disahkan berlaku sewaktu proses pengundian di Cabang PKR Kota Raja dan Kuala Langat.

"Terdapat elemen-elemen yang berusaha untuk mensabotaj pemilihan menggunakan modus operandi ini. Lebih daripada separuh insiden sabotaj telah berlaku selepas jam 2.30 petang, selain itu juga, para pensabotaj akan merempuh masuk ke dalam dewan pengundian dan menimbulkan kekecohan dimana sasaran mereka adalah tong-tong peti undi," katanya kepada pemberita di sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini tengah hari tadi.

Johari menambah pihaknya kini telah menerima banyak rakaman video terhadap insiden-insiden sabotaj tersebut.

"Kami sedang meneliti rakaman-rakaman video untuk tindakan lanjut dan kami meminta orang awam serta anggota parti yang mempunyai video atau rakaman kejadian-kejadian ini untuk tampil ke hadapan membantu kami,".

Ditanya adakah sebarang laporan polis telah dibuat berdasarkan insiden yang berlaku, Johari menjawab tiada sebarang polis dibuat daripada JPP.

"Tiada laporan polis yang dibuat oleh kami kerana kami masih lagi dalam proses mengenalpasti pelaku sabotaj itu,".