Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini menyifatkan kedudukan PKR di Sabah hampir lumpuh apabila 11 Ketua Cabang PKR di negeri itu mengumumkan keluar parti.

Pada masa yang sama, beliau turut berkata apa yang berlaku hari ini adalah gelombang pertama kerana selepas ini akan ada gelombang kedua yang turut akan membabitkan Ketua Cabang PKR di negeri itu.

“Hari ini adalah satu hari yang amat bermakna khususnya dalam konteks politik di negeri Sabah dan negara kita amnya, kerana kumpulan Ketua Cabang PKR ini yang keluar parti PKR akibat hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan PKR seterusnya memberikan kepercayaan kepada kepimpinan Barisan Nasional di peringkat nasional dan di peringkat negeri.

“Mereka ini terdiri daripada 11 Ketua Cabang PKR termasuk dua ADUN yang sudah pun mengistiharkan keluar PKR sebelum ini iaitu ADUN Matunggong, Datuk Jelani Hamdan dan ADUN Kadamaian daripada PKR, Jeremy Malajad.

“Saya juga ingin maklumkan akan berlaku gelombang kedua selepas ini di mana lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin PKR Sabah akan keluar dan menyokong BN. Apa yang sudah berlaku dan yang akan berlaku, bahawa parti PKR di Sabah hampir lumpuh dan sebaliknya BN akan menjadi semakin kuat dan semakin mendapat kepercayaan daripada rakyat Sabah,” ujarnya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Sebelas Ketua Cabang yang mengumumkan keluar parti ialah ialah Kudat, Kota Marudu, Sepanggar, Kota Belud, Batu Sapi, Pensiangan, Beluran, Kinabantangan ,Silam, Kalabakan dan Semporna. -MediaUMNO