Bangunan Planetarium di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh bakal dinaik taraf dan dibangunkan semula sebagai Pusat Setempat Pelancongan Melaka bermula pertengahan bulan ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, nilai pelaburan pembangunan pusat itu membabitkan kira-kira RM300 juta dan dijangka siap menjelang Disember depan.

Beliau berkata, projek naik taraf Planetarium itu melibatkan pembinaan bangunan tiga tingkat dengan hanya mengekalkan struktur pada terminal dan kubah selain turut dicadang dijenamakan semula dengan Science and Galaxy World Melaka.

"Kami telah mendapat kebenaran merancang dan kelak apabila projek tersebut siap ia menjadi bangunan portfolio pelancongan Melaka iaitu semua agensi pelancongan berkaitan dipindahkan antaranya Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan Melaka Heritage.

"Pembinaannya juga mirip kepada Kementerian Pelancongan Malaysia dan akan turut menyediakan kemudahan kepada pelancong untuk membeli baucar penginapan, pengangkutan, produk dan makanan negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas mempromosi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020), di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, di sini pada Rabu.

Terdahulu, beliau turut menyambut ketibaan pesawat AirAsia yang membawa penumpang dari Pekan Baru ke Melaka sebagai promosi pelancongan di pintu-pintu masuk negeri ini.

Sementara itu, Muhammad Jailani berkata kempen VM2020 akan terus dirancakkan dari semasa ke semasa bagi mencapai sasaran 20 juta pelancong seperti tahun lalu dan beliau percaya angka itu mampu melebihi sasaran ditetapkan.

Katanya jumlah kedatangan pengunjung melalui pintu udara juga mencatatkan bilangan memberangsangkan iaitu kira-kira 117,000 orang dalam tempoh 11 bulan pertama tahun lepas berbanding 52,000 pada tahun 2018 di LTAM.

"Kami juga memohon kepada agensi pelancongan agar dapat menawarkan harga berpatutan kepada pelancong dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini dalam menjayakan kempen VM2020.

-- BERNAMA