Planetarium Negara pada Khamis menganjurkan program lawatan bekas angkasawan Pentabiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Charles Bolden.

Program kerjasama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan Kedutaan Amerika Syarikat itu dianjurkan bersempena dengan ulang tahun ke-50 manusia mendarat di bulan.

Seramai 120 pelajar dari 3 sekolah di Kuala Lumpur telah diundang untuk menyertai sesi Planetarium Talk bertajuk Space Exploration yang dibentangkan oleh Bolden, selaku bekas Ketua Pengarah NASA.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin yang hadir pada program berkenaan turut menasihatkan para pelajar supaya sentiasa bekerja keras untuk mencapai impian mereka.

“Saya berharap bahawa selepas sesi ini, kamu semua faham bahawa sebagai manusia, kita boleh mencapai perkara-perkara yang dikatakan mustahil untuk dicapai,” katanya.

Tambahnya, usaha mereka bukan sahaja akan membantu diri sendiri, tapi juga akan membantu negara dan bangsa.

“Tidak ada perkara yang percuma di dunia ini. Kita semua harus bekerja keras,” kata beliau.

Selain program pada Khamis, Pada 6 Jun lalu, International Astronomical Union (IAU) turut melancarkan pertandingan Name Exoplanet di seluruh dunia untuk menandakan ulang tahunnya yang ke-100 tahun.

Malaysia telah diberikan sebuah planet dengan sebutir bintang di pusat orbitnya untuk diberikan nama.

Planetarium Negara dengan kerjasama sebuah badan NGO iaitu ApaDilangit akan membuka penyertaan kepada pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah.

Pertandingan menamakan planet peringkat kebangsaan ini akan bermula pada 1 Julai 2019 sehingga 30 Ogos 2019.

Planetarium Negara berharap bahawa semua pelajar di Malaysia akan menyertai pertandingan ini dan memberikan nama bercirikan Malaysia bagi bintang dan planet di sistem suria yang telah dicalonkan oleh IAU.