Kerja-kerja merobohkan struktur binaan Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam, Selangor, yang mencetuskan pelbagai kontroversi baru-baru ini akan diselesaikan selewat-lewatnya pada 28 Mac ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu diutarakan oleh pihak PLUS Malaysia Berhad khususnya mengenai keperluan untuk mempercepatkan proses merobohkan struktur tersebut.

Jelasnya, buat masa ini pihaknya sedang giat mengendalikan proses pengalihan aset membabitkan peralatan tol, papan tanda dan sebagainya bagi tujuan tersebut.

Menurut Fadillah, pihak PLUS juga sedang bekerjasama dengan memindahkan aset mereka daripada kawasan terbabit.

"PLUS telah maklumkan kepada kepada kita, proses tender telahpun diberi kepada kontraktor. Sekarang ini mereka dalam proses mengalih 'mobile asset', termasuk semua peralatan.

"Apabila sudah sempurna, barulah langkah kedua, iaitu untuk merobohkan struktur bangunan pada masa itu, iaitu yang dipanggil 'traffic management programme'.

"Ia bagi memastikan aliran trafik tidak terganggu," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Hospital Parit Buntar di sini pada Selasa.

Fadillah mengulas kenyataan segelintir pihak terutama pengguna lebuh raya yang menyuarakan pendapat agar plaza tol berkenaan dirobohkan selepas berlaku beberapa insiden kemalangan meragut nyawa.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengguna lebuh raya yang melalui Plaza Tol Batu Tiga supaya lebih berwaspada dan memandu dalam keadaan berhemah bagi mengelakkan sebarang kemalangan tidak diingini.

Menurutnya, inisiatif itu penting bagi mengelak kenderaan terlibat dalam kesesakan dan kemalangan yang boleh meragut nyawa.

Sebelum ini, ramai pengguna laluan itu menyuarakan kebimbangan risiko kemalangan dan menggesa pihak berwajib merobohkan segera Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau yang kini tidak lagi beroperasi.

Pada 19 Feb, dua lagi pengguna Lebuhraya Persekutuan menjadi korban struktur fizikal Plaza Tol Batu Tiga apabila kereta yang dinaiki hilang kawalan dan merempuh tembok tol dalam kejadian 12.55 pagi.

Kemalangan maut akibat rempuhan tembok plaza tol itu adalah yang kedua di lokasi itu selepas kemalangan yang meragut nyawa dua sahabat pada 15 Jan lepas.

Kutipan tol di kedua-dua plaza berkenaan dimansuhkan bermula 1 Jan lepas susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2018 pada Oktober 2017.