Perjanjian EOSP (Expressway Operations Safety Passport) yang dimeterai di antara PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) hari ini menyaksikan PLUS muncul syarikat konsesi lebuh raya yang pertama memperkenalkan ‘Pasport Keselamatan’ di negara ini.

“Keselamatan di lebuh raya merupakan elemen terpenting dalam perkhidmatan dan operasi lebuh raya PLUS. Oleh itu, inisiatif memperkenalkan EOSP ini dipercayai mampu mengorak langkah bagi membudayakan dan meningkatkan amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam industri lebuh raya secara amnya.

“Secara langsung, ia turut memberi kesan yang positif kepada keselamatan orang ramai yang menggunakan lebuh raya di mana risiko kemalangan dapat dikurangkan dari masa ke masa,” kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Semua kontraktor, kakitangan dan individu yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan, pembinaan dan operasi lebuh raya perlu menjalani latihan untuk melayakkan mereka memperolehi Pasport Keselamatan daripada NIOSH sebelum mereka dibenarkan untuk menjalankan kerja di lebuh raya.

“Ini memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya secara amnya kerana perkara-perkara yang boleh mendatangkan bahaya dan risiko kemalangan lebih mudah dikesan dan diambil tindakan oleh semua kontraktor dan individu yang terlatih yang mempunyai Pasport Keselamatan,” jelas Azman.

Pengurangan risiko kemalangan oleh individu dan pihak yang mempunyai Pasport Keselamatan adalah sejajar dengan matlamat PLUS untuk menjadikan perjalanan orang ramai yang menggunakan lebuh raya selamat, lancar dan selesa pada setiap masa. Inisiatif Pasport Keselamatan ini juga membantu PLUS memperkasa budaya keselamatan di lebuh raya.

Menurut Azman, semua pihak yang terlibat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan, pembinaan dan operasi di lebuh raya PLUS perlu menjalani Kursus Induksi Asas Keselamatan (EOSP) yang dikendalikan oleh NIOSH, sebelum mereka dinilai dan memperolehi Pasport Keselamatan.

Majlis Menandatangani Perjanjian tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail dan Pengarah Eksekutif NIOSH, Zahrim Osman di Persada PLUS hari ini.

Turut hadir menyaksikan majlis ini adalah Pengerusi NIOSH, Tan Sri Datuk Seri Lee Lam Thye dan Ketua Penolong Pengarah Pemantauan Operasi Lembaga Lebuhraya Malaysia, Harryati Rofik.