Pengguna lebuh raya laluan Putra Heights-USJ di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) disaran supaya merancang perjalanan berikutan penutupan semua lorong arah ke utara di laluan tersebut, bermula 10 malam ini sehingga 6 pagi, esok.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan malam ini memaklumkan penutupan lorong tersebut terpaksa dilakukan bagi membolehkan kerja pengalihan dan pembersihan kawasan berkenaan yang terlibat kemalangan sebuah treler pengangkut yang membawa muatan berat (galang kotak MRT) yang berlaku awal pagi tadi, di KM12.6 (Arah Utara) di laluan tersebut.

"Sehubungan itu, PLUS akan membuka laluan kontra di KM13.5 hingga KM11.4 bagi melancarkan pergerakan kenderaan yang menggunakan laluan Putra Heights-USJ untuk ke utara," menurut kenyataan itu.

Pengguna juga mempunyai pilihan menggunakan laluan alternatif jika berlakunya kesesakan, iaitu keluar dari lebuh raya dengan menggunakan Persimpangan Bertingkat Putra Heights dan masuk semula ke lebuhraya ELITE menerusi Persimpangan Bertingkat USJ atau Seafield untuk meneruskan perjalanan mereka.

Pelanggan juga dinasihatkan menggunakan aplikasi Waze atau Google Map bagi merancang perjalanan mereka.

Maklumat terkini keadaan trafik di laluan terbabit turut disalurkan menerusi papan tanda elektronik dan Twitter@PLUSTrafik, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA