Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan membincangkan isu berhubung semakan harga air mentah dengan Singapura pada 12 November ini, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya.

Katanya kerajaan sememangnya komited dan tidak akan mengalah sama sekali berhubung isu tersebut berdasarkan Perjanjian Air 1961 dan 1962 yang dengan jelas menyatakan bahawa kajian semula harga air boleh dilaksanakan selepas 25 tahun perjanjian.

"Seperti mana saya maklumkan, kerajaan Malaysia begitu komited dan tegas dalam isu air ini dan tak akan mengalah sama sekali soal perbincangan untuk semakan air.

"Nak maklumkan juga pada 12 November 2018 ini Perdana Menteri akan ke Singapura dan mungkin akan bincang harga air. Kita akan terus beri komitmen, yakin dengan kerjasama semua Ahli Parlimen akan dapat beri kekuatan untuk kita teruskan usaha ini," katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu apakah pendirian dan usaha kerajaan mengadakan perjanjian tambahan bagi meminda harga air selaras dengan peruntukan dalam Perjanjian Air 1961 dan 1962.

Katanya, pendirian Malaysia jelas dibuat semasa pertemuan dua hala dengan Singapura termasuk lawatan rasmi Menteri Luar di negeri itu pada 30 dan 31 Julai.

"Untuk makluman hubungan dua hala Singapura Malaysia begitu baik. Banyak perkara dapat kita selesaikan melalui diplomasi perbincangan," katanya.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pernah membuat kenyataan perjanjian air antara negara itu dengan Malaysia tidak boleh disentuh dan perlu diteruskan mengikut terma ditetapkan selama ini.

Dr Mahathir pernah mengkritik polisi harga air dijual Malaysia ke Singapura yang disifatkan tidak masuk akal semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

Menurut Perjanjian Air 1962 di mana tempohnya berakhir pada 2061, Malaysia perlu membekalkan kepada Singapura sejumlah 250 juta gelen air mentah sehari pada harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.