Kerajaan sedang meneliti untuk menurunkan harga siling topeng muka di bawah RM2.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun harga baharu itu akan diumumkan esok selepas mesyuarat diadakan.

“Harga siling untuk topeng muka RM2 adalah terlalu tinggi jadi Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tidak bersetuju dan esok kita akan bermesyuarat supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melihat semula.

“Kita mahu ia diturunkan sehingga kepada paras yang ditetapkan peringkat awal, sepatutnya tiada isu kerana kerajaan sudah bersetuju hapuskan duti import untuk pembelian topeng muka,” katanya dalam sidang media di sini, pada Ahad.


Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata kerajaan akan membeli sebanyak 10 juta topeng muka daripada China dan ia akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

“Dari segi keutamaan adalah untuk petugas barisan hadapan (frontliner) petugas di hospital, polis tentera, rela dan sebagainya.

“Selebihnya akan diagihkan kepada kawasan dikenal pasti berisiko tinggi, jika ada lebih lagi, kerajaan akan tentukan akan diagihkan,” jelas beliau.

Beliau menambah, kerajaan mungkin akan menambah lebih banyak pembelian topeng muka untuk memenuhi keperluan rakyat.

Pada Sabtu, Menteri Kanan, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan sebanyak 10 juta bekalan topeng muka akan dibawa secara berperingkat ke negara ini dan diselaraskan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyelaras keperluan peruntukan dan agihan topeng muka itu apabila ia tiba kelak,” jelas beliau.