“Tidak kisah Datuk Seri Anwar Ibrahim akan jadi perdana menteri atau tidak, saya tetap akan sokong beliau.”

Itu kata Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz yang mengakui menjadi penyokong tegar Anwar sejak dahulu lagi.

“Saya menyokong tegar Anwar. Sekiranya jadi perdana menteri atau tidak, saya tetap sokong dia. Saya sentiasa menjadi kawan beliau."

Nazri walau bagaimanapun menjelaskan bahawa tindakannya menyatakan sokongan kepada Anwar tidak bermakna beliau ingin meninggalkan UMNO.

“Masa beliau susah saya tetap sokong. Walau saya menteri ketika itu saya tetap hadir kahwin Nurul Izzah. Saya sokong cuma saya tidak keluar UMNO,” katanya pada media di lobi Parlimen hari ini.

Nazri berkata demikian apabila diminta menjelaskan pendiriannya untuk menyokong Anwar semasa Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Beliau sebelum ini mengaku menyokong Anwar dan PKR sebagai satu jalan untuk mengembalikan UMNO sebagai kerajaan.