Tutup

PM beri jaminan perlindungan kepada syarikat korporat dedah maklumat rasuah

PM beri jaminan perlindungan kepada syarikat korporat dedah maklumat rasuah
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata 'whistleblower' yang memberikan maklumat tidak akan didiskriminasi oleh kerajaan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PETALING JAYA: Syarikat-syarikat korporat yang mendedahkan maklumat mengenai sebarang perbuatan rasuah akan dilindungi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ‘whistleblower’ yang memberikan maklumat tidak akan didiskriminasi oleh kerajaan.

“Kami komited untuk membanteras jenayah rasuah. Gejala rasuah hanya akan meningkatkan kos perniagaan dan merugikan pekerja serta pengguna.

“Hal ini kerana kos tersebut akan kembali kepada mereka jua,” kata Dr Mahathir di Majlis The Edge Billion Ringgit Club & Corporate Awards 2019 di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya pada Khamis.
Tun Dr Mahathir (tengah) bersama-sama pemenang anugerah The Edge Billion Ringgit Club & Corporate Awards 2019. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Tambahnya, syarikat akan mendapat lebih banyak keuntungan apabila perbuatan salah laku ini dikurangkan.
“Apabila perbuatan rasuah dikurangkan, syarikat-syarikat akan mendapat lebih banyak keuntungan.

“Ini sekali gus dapat meningkatkan pampasan kepada pekerja, pemegang saham dan orang ramai juga,” tambahnya.

Beliau juga merayu pihak korporat Malaysia sama ada dalam sektor awam atau swasta, supaya membantu kerajaan dalam usaha memerangi rasuah bagi menjaga kesejahteraan semua. 

“Saya merayu kepada pihak korporat Malaysia untuk membantu kerajaan memerangi rasuah, baik dalam sektor awam mahupun swasta.

“Ia baik untuk kesejahteraan kami dan kesejahteraan anak-anak dan cucu-cucu kami,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau akui kerajaan belum menunaikan semua janji di bawah manifesto Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, beliau meminta supaya sektor swasta lebih memahami dan menyokong kerajaan PH dalam menyelesaikan isu-isu yang dihadapi.

Tegasnya, sektor swasta perlu mengabaikan sentimen politik dan terus bekerja keras demi kebaikan rakyat dan negara.

"Jangan mudah terpengaruh oleh sentimen politik yang anda dengar dan baca setiap hari.

“Berita palsu merupakan kenyataan kerana orang ramai mendapat akses kepada media sosial tanpa campur tangan sesiapa.

“Kami tidak boleh membiarkannya menggagalkan kami daripada apa yang perlu dilakukan iaitu mengembangkan ekonomi melalui aktiviti ekonomi yang lebih besar,” ujarnya.




Tag: rasuah, Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, dedah maklumat, whistleblower, The Edge Billion Ringgit Club, Pakatan Harapan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.