Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar pendidikan Rukun Negara dijadikan agenda teras kerajaan.

Beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia boleh menerajui pelaksanaan agenda itu menerusi pelbagai program, inisiatif, dan aktiviti di bawah kementerian dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan masyarakat sivil.

“Saya percaya jika usaha yang bersungguh-sungguh digembeleng semua pihak, kita akan akan berjaya menyemarakkan penghayatan prinsip dan nilai Rukun Negara demi mengeratkan perpaduan rakyat di negara ini.

“Perpaduan rakyat amat penting lebih-lebih lagi ketika negara berhadapan dengan krisis. Saya amat terharu dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan seluruh rakyat Malaysia dalam menghadapi wabak COVID-19,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara di sini pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Perdana Menteri turut melafazkan ikrar Rukun Negara bersama Saifuddin, Halimah beserta enam pelajar sekolah yang mewakili ahli kelab Rukun Negara.

Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan logo rasmi sambutan jubli emas Rukun Negara dan lembaran mini khas Rukun Negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyifatkan prinsip berkenaan memberi makna yang amat mendalam kepada diri sebagai rakyat Malaysia.

Ujar beliau, kelima-lima prinsip itu menjadi asas identiti diri dan penyatuan sebagai bangsa Malaysia.

“Kita berasa bangga menjadi warganegara Malaysia walau apapun kaum, agama, dan warna kulit kita kerana kita mempunyai jati diri yang sebahagiannya dibentuk oleh prinsip Rukun Negara,” katanya.