Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong hari ini melakar sejarah apabila bersama-sama merasmikan agrobazar pertama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di republik ini, yang berperanan sebagai pusat sehenti bagi produk halal dari Malaysia.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Najib berkata projek itu membuktikan keakraban hubungan yang terjalin antara Malaysia dan Singapura.

Beliau berkata pembukaan agrobazar itu tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa sokongan berterusan daripada kerajaan dan peniaga Singapura.

Bazar itu bertujuan membawa produk terbaik Malaysia kepada pengguna di Asia yang amat mementingkan kualiti, kata Najib.

Menurut Fama, sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, 'Agrobazaar Malaysia in Singapore' (ABMS) itu yang terletak di Sultan Gate, akan menjadi platform lebih berkesan dalam mempromosi buah-buahan serta produk makanan berasaskan pertanian dalam kalangan rakyat Singapura dan pengunjung antarabangsa.

Sebagai model bagi hab produk Malaysia, pembukaan agrobazar itu yang diilhamkan Najib merupakan projek berdaya maju dan boleh dikembangkan ke negara lain.

Najib mengumumkan penubuhan ABMS ketika membentangkan Bajet 2014 di Parlimen pada Oktober tahun lepas.

Turut hadir pada majlis perasmian bazar itu ialah isteri Najib Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Setiausaha Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Arif Abdul Rahman, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Datuk Husni Zai dan Ketua Pengarah Fama Datuk Ahmad Ishak.

ABMS, yang menggunakan konsep Buah-buahan, Barangan Runcit, Restoran (Fru-ce-rant), memberi tumpuan kepada buah-buahan tropika premium dan produk berasaskan buah-buahan, penjualan produk berasaskan pertanian serta sajian makanan dan minuman khususnya produk berasaskan buah-buahan tropika.

Ia menampilkan beraneka jenis hasil keluaran secara terus dari ladang di Malaysia bagi memastikan petani dan perusahaan kecil dan sederhana mendapat manfaat daripada perluasan pasaran terutamanya bagi buah-buahan tropika dan produk berasaskan buah-buahan.

Singapura dipilih sebagai pintu masuk agrobazar Fama ke pasaran antarabangsa kerana ia adalah pasaran utama bagi produk makanan pertanian Malaysia.

Selain itu, agrobazar dibuka di republik ini kerana kedudukannya yang hampir dengan Malaysia dan mempunyai ramai ekspatriat.