Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berazam untuk memacu pembangunan negara ke arah masa depan yang lebih gemilang dalam menuju aspirasi Transformasi Nasional 2050.

Beliau berkata Malaysia kini sudah menjadi sebuah kisah kejayaan dan berada di ambang perubahan besar, yang bakal berlaku dalam tahun-tahun akan datang.

Negara telah mencapai kejayaan memberangsangkan hasil dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan menerusi Program Transformasi Nasional (NTP) serta pembangunan infra rakyat yang membawa negara dari takuk ke takuk baharu, kata beliau.

"Kita mahu Malaysia menjadi yang dihormati dunia, Malaysia yang berdaya saing, Malaysia yang berjaya di tanah air dan di peringkat persada antarabangsa dan Malaysia yang tidak ada mana-mana individu yang terabai.

"Apa yang kita perlu setiap rakyat yakin pada usaha kita sebab kita ada pelan yang besar untuk negara ini... kita ada 'big' infra rakyat projek. Kita ada MRT, LRT, kita ada ECRL yang akan membawa perubahan yang amat besar di negeri-negeri Pantai Timur," katanya ketika berucap melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017 di sini, malam tadi

Najib berkata kejayaan-kejayaan yang dikecapi negara boleh dilihat menerusi laporan NTP 2017 dan menggesa rakyat meneliti laporan tersebut yang dapat diakses secara atas talian

http://ntp.epu.gov.my/images/ntp/report/NTP_AR2017_ENG.pdf

"Detailnya (laporan NTP) tolong baca sebab saya nak galak rakyat Malaysia lebih membaca," katanya pada majlis yang turut disiarkan secara langsung oleh RTM dan TV3.

Beliau berkata segala kejayaan itu tidak akan terhenti setakat itu sahaja malah kerajaan akan berusaha menempatkan negara antara 20 terbaik di dunia.

Di akhir ucapannya, perdana menteri mengajak seluruh rakyat Malaysia menguatkan azam dan bersama-sama berganding bahu memacu negara.

"Inilah dia Malaysia, jangan dibiarkan rosak dan hancur binasa, tidak sesekali diserah pertiwi ini, kepada pimpinan yang sudah senja meniti malam.

"Biar dipukul ribut mahupun gelora, sekalipun dihentam tohmahan dan cerca, kerajaan Barisan Nasional akan tetap mara, menjulang Negaraku Malaysia ke puncak jaya," kata beliau sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

-- BERNAMA