Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sempat berbual menerusi panggilan telefon bersama ayah kepada pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, sebentar tadi.

Panggilan dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebelum telefon diserahkan kepada Mohd Gaddafi Mat Karim dan perbualan berlangsung selama kira-kira lima minit.

Najib sempat memberi kata-kata semangat dan mengucapkan takziah kepada Mohd Gaddafi dan keluarga atas pemergian pelajar tahfiz berusia 11 tahun itu.

Dalam pada itu Asyraf Wajdi meminta masyarakat untuk tidak menghukum pusat tahfiz berkaitan kematian tersebut, yang dikaitkan dengan kes pukul.

Sebaliknya, beliau menyeru masyarakat agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan tanpa mencetuskan sebarang spekulasi yang hanya akan mengguris hati keluarga dan pusat tahfiz.

Jelasnya, pelbagai spekulasi yang tercetus tanpa sebarang bukti adalah meletakkan pusat tahfiz itu dalam situasi yang tidak adil.
“Tapi tidak perlu kita menyebarkan spekulasi yang hanya akan meruntun jiwa dan menambahkan lagi kesedihan kaum keluarga.

“Saya baru bercakap dengan bapa arwah, beliau sendiri pun sedih dengan pelbagai tohmahan dan berita yang tidak ada asasnya dan kita serah kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan,” kata Asyraf Wajdi kepada pemberita.

“Dan saya pasti undang-undang kita cukup untuk mensabitkan siapa yang didapati bersalah, cuma sekarang ini kita biarkan siasatan yang sewajarnya,” tambahnya.

Asyraf Wajdi tiba di perkarangan jabatan forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada jam 8.20 malam dan meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham.