Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata tambahan peruntukan RM3 juta akan disediakan bagi meningkatkan kemudahan di Pusat Pembedahan Katarak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan (MAIWP)-Hospital Selayang di sini dalam usaha membantu rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.

Perdana Menteri berkata, ia bagi membolehkan pusat itu membeli peralatan canggih untuk meningkatkan lagi perkhidmatannya.

PM Najib melihat dengan lebih dekat operasi pusat itu di Jalan Kuching di sini hari ini, yang menawarkan perkhidmatan serendah RM103 atau percuma kepada golongan sangat kurang berkemampuan.

Lebih menarik, pusat kendalian MAIWP dengan kerjasama hospital tersebut memberikan perkhidmatan tanpa mengira latar belakang agama dan kaum pesakitnya.

"Saya begitu kagum dengan perkhidmatan di sini di mana saya difahamkan, dalam satu hari lebih kurang 30 pesakit diberi rawatan secara efisien," katanya dalam ucapan ringkas di akhir lawatan ke pusat katarak itu.

Mengulas lanjut, PM Najib, yang turut diiringi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kerajaan sentiasa membuktikan bahawa rakyat mesti didahulukan dalam pelbagai aspek termasuk kesihatan.

Pesakit yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di pusat itu kelihatan agak terkejut melihat kedatangan Perdana Menteri ke situ.

Rata-rata pesakit kelihatan teruja kerana tidak menyangka pemimpin nombor satu negara itu hadir dan bertanya khabar serta masalah kepada mereka.

Pesakit dan kakitangan tidak melepaskan peluang untuk bersua muka selain berswafoto.

PM Najib melawat setiap tingkat di bangunan tiga tingkat itu sambil diiberi penerangan oleh Ketua Oftalmologi, Dr Nor Fariza Ngah mengenai perkhidmatan yang ditawarkan pusat katarak yang memulakan operasi sejak 16 Jan 2013.

PM Najib berkata ketika pembentangan Bajet 2018 pada Oktober lepas di Dewan Rakyat, kerajaan memperuntukkan RM27 bilion bagi sektor perubatan untuk pembinaan hospital baharu dan menaik taraf kemudahan wad, bekalan ubat serta sokongan perubatan.

"Kita (kerajaan) akan teruskan usaha seperti ini. Saya percaya pengumuman (peruntukan) ini akan bantu kakitangan pusat katarak ini beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat," kata PM Najib.

Dalam pada itu, Najib mahu kakitangan pusat katarak itu memberi layanan sama rata kepada pesakit bukan Islam walaupun pusat itu merupakan kerjasama antara MAIWP dan Kementerian Kesihatan kerana beliau mahu semua lapisan masyarakat menikmati kemudahan tersebut.

Pusat itu dikendalikan oleh tujuh pegawai perubatan, sembilan jururawat dan seorang pakar oftalmologi dan ia beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 5 petang.

Sementara itu, pesara kerajaan, Sulaiman Hijes, 61, melahirkan kepuasan dengan perkhidmatan yang diberikan di pusat berkenaan selain berkongsi perbualan bersama Najib iaitu beliau mahu pusat itu dikekalkan di lokasi tersebut.

"Kesempatan bertemu Perdana Menteri tadi beri peluang saya mewakili hasrat pesakit lain, kalau boleh tambah keluasan pusat ini untuk keselesaan pesakit," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham, dalam Facebooknya, berkata pusat itu menerima 12,100 pesakit sejak ditubuhkan 2013.

"Pesakit hanya perlu membayar RM103 untuk pembedahan, manakala pesakit kurang kemampuan adalah diberi rawatan percuma. Ini berbanding caj rawatan sekurang-kurangnya RM3,000 sehingga berbelas ribu jika dijalankan di hospital atau klinik mata swasta," katanya.

Beliau berkata pusat itu adalah contoh kerjasama pintar yang strategik antara MAIWP dan Kementerian Kesihatan.

MAIWP menyumbang dana bagi membangunkan lot kedai untuk dijadikan pusat itu serta menyediakan peralatan canggih untuk pembedahan katarak manakala kementerian pula menyediakan pasukan kepakaran mata untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat pada kadar sangat berpatutan.

-- BERNAMA