Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu badan bukan kerajaan (NGO) memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha meneruskan kemakmuran dan kemajuan di negara ini.

Sambil menyatakan keazaman untuk terus membawa kemajuan kepada Malaysia, beliau berkata kerajaan memerlukan dukungan pelbagai pihak untuk melaksanakan pelbagai agenda pembangunan negara.

"If you (NGO) with me, support me all the way (Jika anda (NGO) bersama saya, sokong saya berterusan), insyaAllah Malaysia akan jadi sebuah negara yang makmur dan lebih berjaya di persada antarabangsa," katanya pada majlis jamuan 'Solidariti Bersama Perdana Menteri' anjuran Persatuan Amalan Minda Cergas Malaysia (AMC) di sini malam tadi.

Beliau menjadikan kejayaan projek MRT yang telah siap sebagai bayangan kepada banyak lagi kemajuan yang bakal dinikmati rakyat pada masa depan.

Perdana menteri berkata kejayaan yang dicapai sejak Malaysia mencapai kemerdekaan hampir 60 tahun lalu adalah seiring dengan perpaduan yang terus kekal di negara ini.

"Kalau kita bekerjasama dan muafakat atas nama rakyat Malaysia, tidak ada ancaman atau cabaran yang tidak boleh kita atasi," kata Najib.

Dalam pada itu, Najib mahu NGO di negara ini membuat sumbangan yang lebih besar kepada masyarakat dan bukan sekadar memenuhi kepentingan sendiri.

Beliau berkata NGO, yang merupakan sektor ketiga terbesar selepas sektor awam dan swasta, mampu membantu mewujudkan sebuah negara yang tidak mementingkan kebendaan (materialisme) semata-mata.

"Saya percaya kita menjadi anggota NGO kerana nak menyumbang seperti nak tolong anak yatim, menjaga alam sekitar... we need to serve a bigger purpose in life than ourselves (kita perlu memenuhi matlamat lebih besar dalam kehidupan daripada diri kita sendiri).

"Jika kita tidak menghulurkan bantuan kepada orang lain, jadilah kita sebuah masyarakat yang mementingkan diri masing-masing," katanya.

-- BERNAMA