Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memuji Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) atas perjanjian komprehensif antara mereka, justeru menamatkan konflik 40 tahun yang telah meragut 150,000 nyawa.

Perdana Menteri membuat ulasan tersebut ketika menghadiri majlis majlis pemeteraian Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro yang diadakan di Manila, hari ini.

"Dalam menandatangani perjanjian ini, kedua-dua pihak telah melihat tidak kepada masalah-masalah masa lalu, tetapi kepada janji masa hadapan. Setelah bertahun-tahun berhadapan dengan konflik, dan begitu banyak nyawa hilang, ia adalah satu langkah yang bersejarah dan berani. Dan ia akan mengubah sejarah negara mereka selama-lamanya," kata Najib.

Perdana Menteri berkata Perjanjian Komprehensif menjamin hak rakyat Bangsamoro dan juga kedaulatan negara Filipina.

Selain itu, Najib turut memberi penghormatan khas kepada Presiden Aquino atas komitmen beliau kepada keamanan di Filipina Selatan, serta mengucapkan tahniah kepada Pengerusi MILF, Al Haj Murad Ebrahim atas kepimpinannya ke arah proses damai ini.

Sementara itu, Malaysia berikrar untuk terus membantu meningkatkan pembangunan sosio ekonomi dan bidang pertanian Mindanao.

Malaysia juga berharap Bangsamoro akan terus bekerjasama dengan pentadbiran Manila bagi memastikan perdamaian dicapai.

Menurut Najib, Malaysia berasa dihormati selaku orang tengah proses perdamaian antara Manila dan MILF.

Perjanjian komprehensif Bangsamoro dicapai selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksana rangka kerja perdamaian yang digariskan Oktober 2012.