Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan Selamat Hari Datuk dan Nenek kepada semua datuk dan nenek memandangkan hari istimewa ini disambut buat pertama kali di Malaysia.

"Selamat Hari Datuk dan Nenek kepada semua yang telah dikurniakan cucu. Anda merupakan sumber restu yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain," kata Perdana Menteri dalam akaun Twitter dan Facebook beliau hari ini.

Bulan lepas, kerajaan menyokong Ahad pertama Oktober sebagai 'Grandparents Day' atau Hari Datuk dan Nenek dan rakyat Malaysia akan menyambut hari istimewa itu pada 4 Okt tahun ini.

Jumaat lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ini merupakan kali pertama rakyat Malaysia menyambut hari penuh bermakna untuk datuk dan nenek.

Beliau berkata rakyat Malaysia telah menyambut Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, Hari Kanak-Kanak dan Hari Warga Emas sejak bertahun-tahun dan tiba masanya bagi menandakan 4 Okt sebagai Hari Datuk dan Nenek.