Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas dan anggota keselamatan yang terlibat pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di seluruh negara pada Sabtu.

Beliau berkata mereka telah memastikan pencalonan PRU14 di seluruh Malaysia berlangsung lancar dalam suasana tenteram.

Najib juga berharap suasana itu akan berterusan sepanjang 11 hari tempoh berkempen yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Terima kasih kepada anggota-anggota Polis, Rela dan semua pegawai bertugas yang memastikan pencalonan #PRU14 di seluruh Malaysia berlangsung lancar dalam suasana tenteram.

"Saya harap suasana sebegini berterusan sepanjang tempoh berkempen juga, Insya-Allah. #HebatkanNegaraku," kata Najib menerusi catatan di laman Twitter beliau hari ini.


Najib, yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pekan bagi penggal ke-10, akan berdepan pertandingan empat penjuru.

Pencabarnya ialah calon PKR, Mohamad Zahid Mat Arip, Kapten (B) Ahiatudin Daud yang mewakili Pas dan calon Bebas, Datuk Kadir Sainudin.

Pada PRU13, Najib menang dengan majoriti 35,613 undi dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon PKR Mohd Fariz Abd Talib. -- Bernama