Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming menggesa Perdana Menteri mengarahkan Bung Mokhtar Radin supaya meminta maaf berhubung kenyataan "Hidup Hitler" demi menjaga imej Parlimen Malaysia dan UMNO.

Beliau juga menggesa Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Ahli Parlimen Kinabatangan itu yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO supaya letak jawatan wakil rakyat dan parti.

"Banyak ahli politik di negara demokrasi yang letak jawatan kerana membuat kenyataan berbaur perkauman dan taksub.

"Oleh sebab Bung tidak mungkin akan minta maaf atau letak jawatan berhubung kenyataannya itu, saya seru PM Najib supaya minta Ahli Parlimen Kinabatangan itu minta maaf secara terbuka kerana tweetnya dan kerana mempertahankan tweetnya serta meminta beliau letak jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Kinabatangan," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Kian Ming, campur tangan Perdana Menteri itu sebagai "tanda beliau seorang PM yang menghargai reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa, reputasi Parlimen Malaysia dan reputasi partinya sendiri, UMNO".

Bung Mokhtar mencetuskan kontroversi pada awal pagi Rabu apabila mengaitkan pasukan Jerman yang membelasah Brazil 7-1 dalam perlawanan separuh akhir bolasepak Piala Dunia 2014 dengan Adolf Hitler.


Kenyataan itu mendapat reaksi negatif daripada banyak pihak terutamanya selepas Bung Mokhtar mempertahankan kenyataannya itu.

Beliau enggan meminta maaf kerana tidak merasakan apa yang dibuatnya itu salah. Beliau juga menyifatkan serangan ke atasnya bukan kerana kenyataan itu tetapi kerana dia Bung Mokhtar.

"Saya tidak tahu apa kena dengan orang kadang-kadang. Hitler itu sebahagian daripada sejarah dan pasukan Jerman berjuang (habis-habisan) seperti dia," katanya seperti dipetik oleh The Star Online.

Bung Mokhtar juga mempertahankan kenyataannya itu sebagai suka-suka dan bukan sesuatu yang serius.

Kenyataan ahli parlimen itu mendapat liputan media antarabangsa termasuk TIME.com, Huffington Post, The Washington Post, BBC News dan Daily Mail.

Duta Besar Jerman ke Malaysia, Holger Michael dalam reaksinya menegaskan kenyataan Bung Mokhtar yang mengaitkan pasukan bolasepak Jerman dengan rejim fasis Hotler sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima.

Ini bukan kali pertama Bung Mokhtar mencetuskan kontroversi. Pada Mei 2007, beliau membangkitkan kemarahan banyak pihak kerana kenyataannya yang menyindir kitaran haid Ahli Parlimen Batu Gajah ketika itu, Fong Po Kuan semasa membahaskan mengenai kebocoran siling Parlimen.

Beliau pada awalnya enggan meminta maaf tetapi kemudiannya berbuat demikian selepas campur tangan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat semasa itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.