Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoal kemampuan penganjur dan peserta perhimpunan Bersih 4, yang dikategorikan sebagai haram untuk membangunkan kawasan luar bandar.

Perdana Menteri turut mengingatkan agar rakyat berterima kasih kepada kerajaan yang telah membangunkan negara selama ini.

"Kita patut bersyukur. Memang kita bersyukur ke hadrat Allah tetapi kita berterimakasih juga kepada kerajaan yang telah membangunkan negara ini.

"Tuan-tuan ingat yang puak-puak yang terlibat dalam Bersih 4 semalam tu hendak buat Felda?

"Siapa yang berbudi kepada masyarakat luar bandar, melainkan kerajaan yang ada pada hari ini," katanya ketika berucap merasmikan majlis sambutan Hari Peneroka Felda peringkat kebangsaan 2015 bertema "Mensyukuri Nikmat" di sini.



BACA: Lapor Langsung Bersih 4

Menurutnya, keprihatinan kerajaan kepada nasib golongan Felda, khususnya kepada generasi kedua itu terbukti apabila kerajaan mewujudkan Program Perumahan Generasi Kedua Felda.

Katanya, menerusi program itu, seperti yang telah beliau umumkan sebelum ini, harga rumah untuk generasi kedua Felda telah diturunkan dari RM120,000 kepada RM90,000 dan hari ini, kerajaan beri peluang tambahan kepada mereka memiliki rumah.

"Pada masa akan datang, kita akan bina lebih banyak rumah dalam lingkungan RM60,000 ke RM70,000. Kita kurangkan sedikit bahan dan reka bentuk daripada 1,100 kaki persegi kepada 850 kaki persegi.

"Yang mustahak, rumah mampu disewa dan dibeli generasi kedua Felda," katanya.