Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengucapkan "Selamat Berjaya" kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Port Dickson akan datang.

"Bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabat saya hari ini (Sabtu). Kali terakhir kami bertemu semasa saya melawat Putrajaya pada Mei," menurut Lee dalam catatan di laman Facebook beliau.

Catatan itu turut diiringi sekeping gambar beliau bersama Anwar, bakal Perdana Menteri Malaysia.

Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR dan juga Ketua Umum Pakatan Harapan yang kini memerintah Malaysia telah memilih kerusi Parlimen Port Dickson untuk kembali aktif dalam politik.

Dalam catatannya itu, Lee turut mengambil perhatian bahawa Anwar telah menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Singapura 2018 yang berlangsung di Hotel Shangri-La.


Beliau berkata Anwar sekali lagi akan berada di sini pada minggu depan untuk berucap di Singapore Management University.

Anwar akan berucap pada Siri Syarahan Kepimpinan Ho Rih Hwa pada 20 Sept.

"Gembira beliau dapat meluangkan masa dengan institusi akademik kami, bertemu rakyat Singapura, membina jambatan dan memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara," kata Lee.

Antara lain pada Dialog Pembiayaan S Rajaratnam, program penting dalam Sidang Kemuncak Singapura 2018, Anwar bercakap tentang hubungan Singapura-Malaysia.

Pada Dialog itu, Anwar turut berjanji, menyatakan: "Jika dan apabila saya memegang jawatan perdana menteri, saya akan pastikan negara pertama yang saya akan lawat ialah Singapura."

BACA: Singapura negara pertama saya lawat bila jadi PM - Anwar Ibrahim

Bekas Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong dan Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Holdings Ho Ching turut hadir pada dialog itu.

-- BERNAMA