Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Lubnan atas tragedi letupan di Pelabuhan Beirut awal pagi tadi.

Dalam entri terbaharu di Facebooknya, Muhyiddin antara lain menyatakan Kerajaan dan rakyat Malaysia menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera dalam kejadian itu dan berdoa agar keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan ini.

Menurut Muhyiddin lagi, Malaysia bersedia menghulurkan bantuan yang diperlukan oleh negara berkenaan.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut bersyukur semua rakyat Malaysia di Beirut dilaporkan selamat.

Dalam kejadian pada pagi Selasa, satu letupan besar di pelabuhan di Beirut telah menggegarkan ibu kota Lubnan dan mengakibatkan lebih 78 mangsa terbunuh manakala 4,000 lain cedera.

Letupan dikatakan berpunca daripada 2,750 tan baja ammonia nitrat yang disimpan bertahun-tahun di kawasan gudang pelabuhan itu.

Akibat itu, beberapa bangunan di sekitar kawasan tersebut termasuk kediaman bekas Perdana Menteri Saad Hariri yang dilihat musnah serta mengalami kerosakan teruk.

Kepulan asap hitam tebal dapat dilihat sejauh kira-kira 10 kilometer.

Terdapat juga rakaman dari pelabuhan menunjukkan kerosakan besar pada bangunan dan kereta, serta orang yang cedera dalam letupan itu.