Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kehilangan veteran politik Tan Sri Abdullah Ahmad sebagai satu kehilangan besar dan memberi kesan buat keluarganya.

Ini kerana kata Najib, tugas yang digalas Abdullah selama 14 tahun sebagai bekas Setiausaha Politik kepada bapanya menjadikan hubungan antara dua keluarga sangat erat.

"Allahyarham sangat rapat dengan ayahanda saya dari segi kerja mahupun hal peribadi. Sememangnya dua keluarga ini sangat rapat sejak dahulu lagi. Ini menjadikan kehilangan beliau sangat besar buat keluarga.

“Saya berharap agar segala jasanya dapat kita hargai,” katanya.

Najib tiba di kediaman Abdullah di jalan U-Thant sekitar jam 5:15 petang di temani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mencemar duli menziarahi jenazah Abdullah.

Turut mencemar duli, Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang tiba pada jam 4.40 petang bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Allahyarham yang juga dikenali sebagai Dollah Kok Lanas, meninggal dunia akibat kanser.

Menurut anak sulungnya, Adhha Abdullah, setelah setahun rawatan, kanser tersebut mula merebak ke bahagian hati.

"Sejak setahun lepas, bapa disahkan menghidap barah esofagus. Hampir setahun menerima rawatan, beliau berjaya pulih tetapi pelik bila barah tadi mula merebak sehingga ke hati,” jelas Adhha.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, kata Addha, bapanya sempat berpesan agar menjaga cucu-cucunya dengan baik.

"Pesanan terakhir dia kepada saya agar kami menjaga cucu-cucunya dengan elok, pastikan mereka mendapat pendidikan yang baik dan membesar dengan bagus" katanya ketika ditemui pemberita.

Antara kenamaan yang hadir di kediaman allahyarham adalah bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Abdullah, 83 meninggal dunia sekitar jam 1.15 pagi di Hospital Pantai Medical Centre.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke kampung halamannya di Kelantan dan akan dikebumikan di Masjid Ayesha Kok Lanas pada awal pagi Isnin.

Allahyarham meninggalkan isteri Puan Sri Fauziah Mohamed Darus, tiga anak dan empat cucu.