Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai tempoh 'bulan madu' seperti kerajaan terdahulu apabila diuji dengan krisis COVID-19 tidak sampai sebulan selepas mengambil alih pentadbiran negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, krisis global yang tidak pernah berlaku itu memerlukan mereka bekerja siang dan malam bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

"Kami tiada masa untuk berbulan madu sebagai kerajaan baharu. Kami bekerja sebagai pemerintah yang berfungsi sejak dari hari pertama.

"Berkat kesungguhan kerajaan dengan dokongan para frontliners, penjawat awam, sukarelawan dan disiplin rakyat, negara kita telah berjaya mengharungi krisis ini dengan baik," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN, di ibu negara, pada Selasa.

Turut hadir pada konvensyen ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mewakili PAS serta kepimpinan gabungan PN.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, antara tanggungjawab terbesar yang perlu dilakukannya sebagai Perdana Menteri adalah memastikan rakyat mempunyai perlindungan ekonomi yang mencukupi.

"Dalam keadaan ini, saya tidak boleh biarkan rakyat merempat dan kelaparan. Saya harus memastikan rakyat mempunyai tempat tinggal dan makanan yang mencukupi.

"Kerana itu saya minta Menteri Kewangan supaya cari duit. Saya tak sampai hati nak beritahu rakyat yang kerajaan tiada duit ketika mereka berada dalam kesusahan," ujarnya lagi.

Tambah beliau, Bantuan Prihatin Nasional, morotarium pinjaman bank, bantuan khas untuk perusahaan kecil dan sederhana, subsidi upah, diskaun bayaran bil elektrik dan inisiatif-inisiatif lain di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan adalah bukti keprihatinan kerajaan kepada rakyat.

"Tanggungjawab saya adalah menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa, kepercayaan dan warna kulit. Ini adalah keutamaan saya. Apa yang telah saya lakukan selama enam bulan adalah berdasarkan prinsip ini.

"Apabila ditanya oleh rakyat adakah saya telah melaksanakan amanah saya, saya boleh katakan ya, saya telah laksanakan. Selebihnya, saya berserah kepada Allah," katanya.