Kerajaan Perlis digesa menebang segera pokok-pokok besar di tepi jalan raya di sekitar negeri ini kerana ia diibaratkan umpama 'bom masa' yang menjadi antara satu punca utama kemalangan terutama ketika hujan lebat atau ribut.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd Jalil berkata sering berlaku kejadian pokok tumbang di jalan raya sehingga menghalang laluan dan lebih serius apabila ada yang menyebabkan kemalangan maut.

"Dalam kejadian ribut semalam misalnya, empat maut dalam kemalangan berasingan dan ada kes pemandu terlanggar pokok yang tumbang ke jalan raya akibat angin kuat.

"Kerajaan negeri harus kaji segera rasional pokok balak ditanam di tepi jalan ini kerana ia memberikan impak yang dahsyat kepada pengguna jalan raya," katanya kepada Bernama selepas meninjau kawasan dilanda ribut di kawasan DUN Sena dan Bintong di sini, pada Selasa.

Terdahulu, Asrul Nizan melawat beberapa rumah yang mengalami kerosakan di Kampung Baru, Jalan Kaki Bukit, Kampung Baru, Repoh dan Taman Sri Intan dekat sini serta turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga terbabit.

Dalam kejadian ribut di beberapa tempat di Perlis pada Isnin malam, sebanyak 139 laporan membabitkan kerosakan kediaman diterima sehingga 4 petang semalam, selain banyak pokok tumbang di jalan raya sehingga menyebabkan beberapa insiden termasuk kemalangan maut.

BACA: Ribut Padang Besar: Anak konstabel terlibat kemalangan kritikal

BACA: Ribut Perlis: 38 sekolah alami kerosakan


-- BERNAMA