Memang cantik namun mengundang kebimbangan!

Ini sentimen pengguna jalan raya di sini tentang kewujudan deretan pokok-pokok besar di sekitar bandar raya ini, sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini seumpama pokok tumbang, dahan patah terutamanya dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Beberapa jalan utama termasuk Jalan Masjid Negeri, Jalan Terengganu, Jalan Residensi , Jalan Macalister dan beberapa jalan utama lain adalah antara laluan yang dihiasi deretan pokok-pokok besar dimana ada antaranya berusia sehingga ratusan tahun.

Menurut penduduk sekitar, beberapa kejadian pokok tumbang telah berlaku di laluan berkenaan sebelum ini ketika hujan lebat dan angin kencang sekali gus menimbulkan keresahan pengguna jalanraya yang melalui laluan tersebut.

“Kami sebagai pengguna jalan raya yang melalui Jalan Masjid Negeri, Jalan Utama, Jalan Residensi menjadi keresahan kepada kami sebagai pengguna jalan raya apabila kebelakangan ini keadaan cuaca tidak menentu,” kata peniaga Jimbran Khalil.

Menurut Jimbran, kebanyakan pokok-pokok telah tumbang ke tepi dan ke tengah jalan.

“Ini mengundang bahaya kepada pejalan kaki dan pengguna jalan raya, jadi kita meminta pihak berwajib memantau situasi berkenaan,” tambahnya.

Pesara Jamal Mydin Trapshar pula mendakwa pokok-pokok di kawasan berkenaan ada yang menjangkau usia ratusan tahun.

“Pokok-pokok 'heritage' (warisan) ini banyak tapi perlu dipantau dan juga kena ‘trim’ kerana musim ribut kebelakangan ini, kadang-kadang bumbung pun terbang, elok juga pihak berkuasa, ‘trim’ pokok-pokok yang akan jatuh kerana membahayakan pengguna jalan raya,” kata Jamal.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Yew Tung Seang berkata, satu pangkalan data dikenali ‘Penang Tree Information System (PeTIS)’ telah diwujudkan dalam usaha pemuliharaan pokok-pokok di negeri itu.

“Apa yang penting ialah penyelenggaraan, kami telah mengambil inisiatif untuk menyimpan dan membentuk data bagi semua pokok-pokok dalam kawasan kami, untuk dimasukkan dalam system ‘Petis’ (Penang Tree Information System),” kata Yew.

“Yang penting kita akan menyimpan data-data pokok-pokok berikut, dan bila kita nak lakukan penyelenggaraan kita ada Jabatan Lanskap yang melihat dan menyelenggara.”

“Walau bagaimanapun kita juga bersedia dalam situasi perubahan iklim dan back-up team untuk tangani masalah ranting atau pokok jatuh,” katanya.

Pangkalan data berkenaan, tambahnya akan memudahkan pihak majlis merancang, mengesan dan menyelenggara serta mengurus pokok-pokok yang telah diwartakan.

Ogos lalu, kerajaan negeri telah merekodkan beberapa kejadian pokok tumbang di beberapa jalan utam di sekitar bandar raya ini.

Pada bulan September dan November tahun lalu, puluhan insiden pokok tumbang sehingga merosakkan kenderaan penduduk turut direkodkan.