Hujan lebat serta angin kencang yang melanda Lembah Klang sejak pukul 5 petang Isnin menyebabkan beberapa insiden pokok tumbang, namun setakat ini tiada kemalangan jiwa atau banjir kilat dilaporkan.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur Zamani Ismail berkata dalam insiden pertama, pokok tumbang berlaku di belakang lorong rumah teres di Bandar Manjalara, Kepong, dengan dua kereta dihempap dahan sekah akibat pokok tumbang.

"Hujan lebat dan angin kencang juga menyebabkan pokok-pokok tumbang di beberapa kawasan termasuk Seksyen 6 di Wangsa Maju, Bandar Baru Sentul, Pusat Perubatan Prince Court, Jalan Tun Razak, Bukit Bintang dan Titiwangsa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Isnin.

Zamani berkata kejadian pokok tumbang juga dilaporkan berlaku di tanah perkuburan dan dalam kawasan Sekolah Agama Kampung Puah dekat sini.

Beliau berkata kejadian ribut pada pukul 6 petang Isnin turut menyebabkan dua khemah di padang kawad Bukit Aman diterbangkan angin dan menyebabkan kerosakan.

Sementara itu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan ribut petir, hujan lebat serta angin kencang di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka, beberapa daerah di Pahang dan Terengganu dijangka berterusan sehingga lewat malam.

-- BERNAMA