Ibu bapa disaran menilai anak-anak bukan sahaja pencapaian akademik malah meliputi pelbagai aspek termasuk seni, kemahiran dan sukan.

Pengarah Lembaga Peperiksaan (LPM), Datin Nawal Salleh berkata Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di mana penilaian murid dibuat berasaskan pelbagai aspek.

"Selain daripada itu juga, kita lihat bahawa UPSR ini adalah satu bentuk pengukuran yang sejak akhir-akhir ini menjadi satu polemik kerana masyarakat melihat anak-anak mereka ini, bukan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk melihat pencapaian, tetapi diukur dari segi berapa 'A'-nya.


"Anak-anak kita ini, kita tidak boleh anggap mereka semua ini sama, mereka tidak sama. Ada anak-anak yang mempunyai kecenderungan dan juga bakat dalam bidang sukan (atau) seni, jadi kita tidak boleh gunakan keputusan peperiksaan itu untuk menggambarkan kehebatan anak itu kecuali kita mengambil pendekatan bahawa ada pelaporan lain yang boleh mempamerkan kecemerlangan anak ini," katanya pada sidang media khas LPM berkenaan penjelasan keputusan UPSR 2016 di Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, menerusi PBS, ibu bapa boleh menilai dan mengukur anak-anak mereka dalam pelbagai aspek.

"UPSR hanya peperiksaan yang mengukur aspek akademik sahaja. Oleh sebab itu, pada tahun 2011, semasa kita memperkenalkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), kita telah mintak pihak sekolah membuat Pentaksiran Aktiviti, Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

"Melaksanakan pentaksiran sekolah iaitu proses PDP bersama pentaksiran di kelas itu perlu berlaku untuk melihat sama ada anak-anak itu telah berjaya menguasai ilmu yang ingin disampaikan kepada anak-anak," katanya.

Mengulas berkenaan rasa tidak puas hati terhadap keputusan UPSR 2016 yang diumumkan semalam, Nawal berkata ibu bapa calon boleh mengemukakan semakan semula kertas peperiksaan yang dikehendaki.

"Mereka boleh kemuka semakan semula kertas jawapan peperiksaan dan setiap matapelajaran akan dikenakan caj sebanyak RM50 sebab kita perlu cari semula kertas jawapan calon dan kemudian perlu lantik semula pemeriksa dan pelbagai lagi prosedur," ujarnya.

Borang semak semula peperiksaan boleh didapati di sekolah-sekolah serta pejabat pendidikan daerah dan diserahkan semula dalam tempoh 30 hari selepas keputusan diumumkan.