Polis akan melihat semula secara terperinci mengenai kes yang melibatkan seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat telekomunikasi yang ditahan atas dakwaan mencabul anak gadisnya sendiri.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, ASP Choo Lily kes berkenaan ditutup sementara kerana menurut pendakwa raya kes itu tidak cukup keterangan sekali gus tidak boleh dibawa ke mahkamah.

“Sebab tiada tindakan kerana kes itu kurang keterangan, saya belum dapat maklumat terperinci mengenai kes itu tetapi secara amnya begitu, semua yang kita siasat dia (pendakwa raya) kata tidak cukup keterangan jadi tidak boleh dibawa ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Ahad.

ASP Choo berkata beliau juga tidak mempunyai maklumat lanjut berikutan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai sulit namun akan melihat semula kes berkenaan.

“Saya tidak tahu lebih lanjut kerana saya belum tengok lagi kes itu. Lagipun kes itu berlaku semasa saya belum masuk D11, saya cuma nak panggil balik, nak tengok apa cerita,” jelas beliau.

Terdahulu, akhbar tempatan berbahasa Inggeris The Star melaporkan bekas CEO syarikat telekomunikasi itu ditahan selepas didakwa mencabul anak gadisnya sendiri.

Beliau ditahan setelah isterinya membuat sekurang-kurangnya 15 laporan polis sejak tahun 2015 selepas pasangan itu berpisah.

Kedua-dua pasangan itu mempunyai hak penjagaan bersama dua anak perempuan dan seorang anak lelaki mereka.

Bekas CEO itu ditahan di Balai Polis Hulu Kelang Khamis lalu selepas didakwa menceroboh masuk ke rumah bekas isterinya.

Dia dibebaskan dengan jaminan polis pada hari Ahad, sehari sebelum perintah tahanan reman empat hari terhadapnya berakhir.