Polis Terengganu belum menerima laporan daripada mana-mana pihak berkaitan kes buli membabitkan dua pelajar sekolah menengah di negeri berkenaan, yang klip video perbuatan itu menjadi tular di media sosial sejak pagi ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail bagaimanapun berkata insiden itu dalam makluman polis dan dipercayai berpunca daripada insiden ejek mengejek yang berakhir dengan kejadian buli, membabitkan pelajar Tingkatan Dua dan Empat di sebuah sekolah menengah di Setiu, pagi semalam.

Beliau berkata difahamkan pihak sekolah sedang berunding dengan ibu bapa kedua-dua pelajar berkenaan untuk mencari penyelesaian tanpa melibatkan polis, dan menurutnya polis memang memandang serius perkara ini.

"Kami nasihatkan semua pihak termasuk ibu bapa dan sekolah supaya memainkan peranan masing-masing bagi mencegah kejadian seumpama ini daripada berlaku," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Sejak pagi tadi, tular di media sosial mengenai satu video berdurasi 14 saat yang memaparkan seorang pelajar lelaki menumbuk dan menendang seorang pelajar dalam sebuah kelas sambil diperhatikan beberapa pelajar lain.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin berkata beliau masih menunggu laporan penuh daripada sekolah terbabit dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Setiu berkaitan kejadian itu.

"Saya dimaklumkan kejadian itu berlaku pada waktu rehat melibatkan pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Dua," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Hari Raya anjuran JPNT, di sini hari ini.

"Saya sudah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Setiu dan pengurusan sekolah terbabit mengambil tindakan berhubung perkara ini dan melaporkan segera kepada JPNT," tambahnya.

-- BERNAMA