Polis memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyimpan atau menularkan rakaman video kes rogol membabitkan pelajar tingkatan dua di daerah Tawau yang tersebar sejak awal minggu ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata tindakan undang undang boleh diambil terhadap pelaku berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Kes rogol yang berlaku di sebuah sekolah di Tawau baru-baru ini, kami mengesahkan dalam dua hari ini, banyak aduan daripada orang awam diterima tentang satu video viral berkaitan kes tersebut. Saya mengesahkan bahawa video itu memang ada.

"Sekiranya sesiapa didapati mengedar, memviralkan video tersebut, maka suspek atau individu tersebut akan diambil tindakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998," kata Peter.

Menurut Peter, suspek boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.

Terdahulu seorang pelajar perempuan tingkatan dua dirogol bergilir-gilir oleh tujuh lelaki pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di daerah Tawau pada Jumaat lalu.