Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Polis berkas lelaki samun hotel guna pistol tercicir

Polis berkas lelaki samun hotel guna pistol tercicir
Razarudin berkata, selain membuka kertas siasatan, siasatan dalaman juga dijalankan di bawah Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard. - Gambar fail
IPOH: Polis berjaya memberkas dua lelaki tidak sampai dua jam selepas mereka menyamun sebuah hotel di Menglembu, di sini, dengan menggunakan pistol seorang anggota polis yang tercicir.

Mereka melakukan jenayah itu pada 24 Januari lalu, menggunakan sepucuk pistol yang dilaporkan hilang di Tanjung Rambutan pada 15 Januari lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, mereka diberkas sepasukan pegawai dan anggota yang membuat rondaan selepas mendapat makluman mengenai kejadian itu pada 4.10 pagi hari berkenaan.

“Dalam tangkapan tersebut, kita juga telah merampas sepucuk pistol P99 yang mana pistol ini pula telahpun tercicir oleh seorang anggota polis kita di kawasan Tanjung Rambutan pada 15 Januari.
“Kedua-dua suspek yang ditangkap ini telahpun dituduh di mahkamah. Pihak kita masih lagi menyiasat tentang kehilangan pistol tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pemakaian pangkat dan serah tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di Mess Pegawai Kanan PDRM Perak di sini, hari ini.



Razarudin berkata, selain membuka kertas siasatan (IP), siasatan dalaman juga dijalankan di bawah Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard.

Menurutnya, kedua-dua suspek, berumur 20 dan 27 tahun, yang masing-masing mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, telah didakwa di mahkamah.

Pada majlis hari ini, Razarudin menyaksikan serah terima tugas antara Senior Asisten Komisioner V.R Ravi Ravichandaran yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan / Perhubungan Antarabangsa) JSJN Bukit Aman dan Ketua JSJN Perak yang baharu ACP Lee King Chuan.

Beliau turut menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Supt Ng Boon Huat yang akan memegang jawatan Pegawai Turus Pendataan / Analisa JPJKK PDRM Perak.