Geng 36, atau lebih dikenali di Kuala Muda sebagai geng 'Ayya Kecik', yang bergerak aktif dalam kes pengedaran, penjualan dadah dan samun, berjaya ditumpaskan polis daerah ini.

Satu cubaan mencuri motosikal di Flat Paya Nahu, Sungai Petani, telah membuka kepada siri penangkapan tiga anggota kumpulan ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah, rentetan daripada kejadian pada 1 Januari jam 7 malam itu, suspek berjaya mencuri motosikal mangsa dan melarikannya.

Ekoran daripada laporan yang dibuat mangsa, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda telah bertindak dan mengesan motosikal itu di sebuah rumah di Taman Berlian, di sini.

Serbuan yang dilakukan pada jam 2.30 pagi berjaya menangkap suspek pertama, berusia 26 tahun, bersama motosikal yang dicuri.

Hasil soal siasat ke atas suspek, polis berjaya membongkar penglibatan dalam kes kongsi gelap tersebut, katanya pada satu sidang media di IPD Kuala Muda, di sini, hari ini.



Serbuan di sebuah rumah di kawasan tokong di Kampung Pulau Hawai pada jam 12 malam 4 Januari berjaya menahan ketua kumpulan bersama sepucuk pistol jenis Baretta dan 13 butir peluru.

Seterusnya pada 6 Januari, satu lagi serbuan di sekitar Sungai Petani berjaya menangkap seorang lelaki Cina berusia 51 tahun bersama sepucuk pistol jenis Revolver 22 dan 149 butir peluru.

"Kesemua tangkapan ini kita tengok ada rekod jenayah yang berkaitan dadah dan juga samun, dan satu adalah masih lagi dikehendaki, iaitu berkaitan dengan samun mendatangkan cedera.

"Pada tahun 2013, suspek telah menjalani ujian air kencing dan kesemuanya adalah positif dadah jenis meth," kata Adzli.

Jelasnya, dengan tangkapan ke atas kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan kes pengedaran dadah dan samun di sekitar daerah ini.

Menurut Adzli, hasil siasatan, kedua-dua pucuk senjata api itu diperolehi dari Thailand.

Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula 3 hingga 10 Januari untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 397A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya.