Polis telah menumpaskan sindiket memproses dadah jenis syabu yang didalangi warga tempatan hasil dari lima serbuan yang dilakukan di sekitar Lembah Klang sejak tiga hari lepas.

Ketua penolong pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, SAC Kang Chez Chiang berkata, dalam serbuan itu polis menahan 13 anggota sindiket termasuk seorang ahli kimia berusia awal 30an.

Daripada 13 yang ditahan, enam merupakan rakyat tempatan, enam warga India dan seorang warga Bangladesh.

Hasil serbuan ke atas makmal dadah itu, polis merampas 9.3kg serbuk kristal dan 63 liter cecair, kedua-duanya dipercayai syabu, serta pelbagai peralatan kimia yang jumlahnya dianggarkan bernilai RM2.4 juta.

Turut dirampas ialah sepucuk pistol jenis Glock serta 15 butir peluru.

Kang berkata, polis turut menyita harta benda sindiket itu, antaranya pelbagai kenderaan, barang kemas, jam tangan dan mata wang asing pelbagai negara, bernilai lebih setengah juta ringgit.

“Pihak JSJN merakamkan terima kasih kepada orang awam yang memberi maklumat ini kepada kita sehingga kita mencapai kejayaan setelah menjalankan siasatan hampir sebulan lebih. Kerjasama antara pihak polis dan orang awam amat dihargai,” katanya hari ini.

Beliau menambah, hasil siasatan dan risikan mendapati sindiket itu sudah beroperasi lebih sebulan yang lepas.

Polis kini menyiasat jika rangkaian sindiket itu mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Kesemua suspek direman sehingga 20 Ogos ini untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung jika disabit kesalahan.