Polis sedang memburu sepuluh lagi pengikut kumpulan ajaran sesat, ‘Tuhan Harun’ bagi membantu siasatan kes pembunuhan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), 10 November lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Datuk Hadi Ho Abdullah dalam satu kenyataan melalui laman Facebook PDRM hari ini.

harun

Berdasarkan laporan media, tujuan penangkapan tersebut bertujuan bagi melengkapkan siasatan susulan penangkapan 13 pengikut yang sama semalam.

"Pihak polis percaya dengan 10 tangkapan baru yang menjadikan jumlah keseluruhan 13 orang termasuk 2 wanita serta dengan rampasan sepucuk pistol semi auto, kes bunuh Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Penguatkuasa) Jabatan Agama Islam Pahang dianggap telah diselesai.

"Walaubagaimanapun pihak polis akan mengesan 10 lagi individu bagi membantu siasatan kes ini," kata Hadi dalam kenyataan tersebut.

PDRM turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kes tersebut agar menghubungi pegawai-pegawai berikut:

DSP ZAKARIA - 019-3822020
ASP ZUKRI - 013-9764999
INSP MOHD HASNI - 016-4888025

Dalam kejadian tersebut, Ketua Penguatkuasa JAIP, Ahmad Rafli Abdul Malek maut ditembak oleh seorang lelaki di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, di Kuantan.

Kejadian yang berlaku sekitar 2 petang itu menyebabkan mangsa yang berumur 49 tahun mati di tempat kejadian akibat terkena dua das tembakan di bahagian dada.

Susulan kejadian itu, ketua kumpulan sebuah sesat 'Tuhan Harun', Harun Mat Saat, 47, berjaya diberkas bersama seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Tangkak, Muar, Johor.

Dengan penangkapan Harun, polis telah berjaya menyelesaikan kes tersebut dengan penangkapan 13 suspek termasuk dua wanita yang merupakan anggota kumpulan ajaran sesat itu serta merampas senjata api yang dipercayai ada kaitan dengan kes tembakan itu.

Perkara itu diumum oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twitternya @KBAB51 malam tadi.