Polis masih memburu suspek kes membaling batu di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Hutan Kampung di sini, yang menyebabkan tiga buah kenderaan mengalami kerosakan pada malam Khamis lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin, pihakya telah mengambil keterangan dari ketiga-tiga mangsa berusia 31 hingga 42 tahun yang membuat laporan polis dan siasatan sedang dilakukan bagi mengesan suspek.

Pihaknya masih berusaha mengumpul maklumat selengkapnya daripada mangsa dan beberapa saksi mengenai kejadian yang berlaku antara jam 10.30 hingga 10.45 malam itu.

Pada malam Khamis lalu, polis menerima tiga laporan berhubung perbuatan khianat membaling batu dari jejantas di Kilometer 40.6 PLUS arah utara antara pekan Jitra ke Bukit Pinang.

Antara kenderaan yang terlibat ialah kereta jenis Mazda milik seorang wanita yang rosak pada bahagian bumbung dan pecah cermin hadapan, manakala kereta yang dipandu seorang lelaki iaitu Mitsubishi Triton pula rosak di bonet, cermin dan bumper hadapan.

Toyota Vios yang dipandu seorang lagi lelaki pula mengalami kerosakan di bahagian lampu hadapan manakala bumper hadapan kemek.

Siasatan awal mendapati dua ketul batu besar telah dibuang dari atas jambatan itu.

Semakan juga mendapati kes ini adalah yang pertama dilaporkan pada tahun ini dan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

Kejadian ini dikongsi wanita terbabit yang memuat naik status di akaun Facebooknya pada petang Jumaat lalu.

Mangsa turut mahu pihak PLUS memasang kamera litar tertutup (CCTV ) di setiap jambatan agar dapat mengekang kejadian sama daripada berulang.