Polis mengesan suspek kes pecah masuk sekolah rendah kebangsaan di Banda Hilir di sini hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1.30 hingga 1.50 pagi.

Menurutnya, kejadian disedari guru besar sekolah berkenaan ketika mahu memulakan sesi persekolahan pagi semalam.

“Polis terima laporan jam 12 tengah hari semalam (kelmarin) yang dibuat guru besar sekolah berkenaan di Balai Polis Banda Hilir tentang kejadian pecah masuk sekolah itu.

“Kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2,500 meliputi wang tunai serta sebuah komputer riba dan dimaklumkan sekolah berkenaan juga mempunyai pengawal keselamatan ketika kejadin tersebut berlaku,” katanya.

Afzanizar berkata tidak dapat dipastikan sama ada suspek seorang warga tempatan atau sebaliknya dan polis masih lagi sedang menjalankan siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis dan curi.