Polis memburu tiga ahli kumpulan Bell yang dipercayai terlibat dalam kes tetak bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maju Perak dan isteri di Taman Meru Height di sini pada 22 Disember lalu.

Tiga suspek itu, termasuk ketua mereka, dipercayai turut aktif melakukan samun bersenjata di beberapa daerah di negeri ini dan lima negeri lain sejak awal Disember lalu.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, pihak polis telah mengenal pasti dua daripada tiga suspek, masing-masing berusia 30 dan 31 tahun.

Menurutnya, empat lagi suspek telah ditahan pada 27 Disember lalu selepas kumpulan penjenayah berkenaan menyamun seorang wanita di pekarangan rumah mangsa di Parit Buntar pada hari sama.

"Dua suspek yang sedang diburu itu dikenali sebagai Zairy Huzaimy Md Akhir, 30, dan Mohd Fairus Hassan, 31, berasal dari Kepong, Kuala Lumpur.

"Empat lelaki yang ditahan sebelum ini pula berusia antara 20 hingga 30 tahun berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Hasnan berkata, tujuh suspek terbabit dipercayai melakukan 26 samun di Perak, Selangor, Melaka, Kedah dan Negeri Sembilan.

Pada 22 Disember lalu, Datuk Mansor Ahmad yang juga bekas Bendahari Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) cedera parah di kepala manakala isterinya cedera di tapak tangan selepas ditetak penyamun di hadapan rumah mereka.

Dalam kejadian jam 3.35 petang itu, suami isteri tersebut sedang bersiap untuk meninggalkan rumah mereka sebelum diserbu enam lelaki bermotosikal yang bersenjatakan parang.