Polis cari ahli keluarga mangsa bunuh, sumbat dalam beg bagasi

Polis cari ahli keluarga mangsa bunuh, sumbat dalam beg bagasi
Hasil siasatan mendapati terdapat mayat tanpa pakaian di dalam beg bagasi berwarna Rose Gold berukuran 28 inci yang ditemui dalam kolam takungan air sawit. - Gambar hiasan
TELUK INTAN: Polis sedang mencari ahli keluarga seorang lelaki yang ditemui di dalam kolam takungan air sawit di sini yang mana mayatnya diletakkan di sebuah beg bagasi, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta membuat laporan di balai polis berhampiran.

Menurutnya, pada jam 2 petang, 22 Disember lalu, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan penemuan sebuah beg bagasi dalam kolam takungan air sawit, berisi mayat satu lelaki.
"Hasil siasatan mendapati terdapat mayat tanpa pakaian di dalam beg bagasi berwarna Rose Gold berukuran 28 inci itu.

"Malah terdapat beberapa lukisan cacahan (tatoo) dipercayai tulisan Siam di bahagian belakang dan hadapan mayat, manakala di lengan kiri terdapat tulisan Cina dan di lengan kanan terdapat lambang berbentuk salib," katanya.

Ujar Mohd Marzukhi, sebarang maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kanan Jenayah IPD Hilir Perak ASP Hamzanni Abdul Ghani di talian 019 5732880.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.